Danny Antwi cemerlang menjaringkan "hatrik".
credit photo : Dunia Warriors (Like This Page)
Pasukan Kelantan meneruskan rentak cemerlang untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam siri jelajah perlawanan persahabatan pra-musim 2012. Mangsa terbaru pasukan bergelar The Red Warriors ini ialah pasukan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah bimbingan bekas jurulatih Kelantan, B.Sathianathan. Kelantan berjaya mengatasi ATM dengan jaringan 4-2.
Penyerang import Kelantan dari Ghana, Danny Antwi muncul wira pasukan apabila menjaringkan "hatrik" peribadi pertama beliau untuk pasukan Kelantan. Danny terlebih dahulu menjaringkan dua gol awal sekaligus meletakkan ATM dalam keadaan tertekan. Pemain muda Kelantan, Khairul Izuan Rosli menambah derita pasukan ATM apabila menyumbat gol ketiga untuk Kelantan selesa mendahului 3-0. Namun, ATM akhirnya berjaya merapakatkan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti di minit akhir separuh masa pertama. Pemain import ATM, mudah menyempurnakan penalti menewaskan Syazwan Yusof di gawang Kelantan. Keputusan separuh masa pertama Kelantan 3-1 ATM.
Bermula separuh masa kedua, ATM memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan kedudukan 3-2. Kelekaan pemain pasukan Kelantan sedikit mencemaskan sehingga ATM berjaya menyerap asakan sekaligus merapatkan kedudukan. Namun, di minit-minit akhir perlawanan, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disudahkan oleh penyerang import, Danny Antwi untuk Kelantan memenangi perlawanan dengan jaringan 4-2.
Untuk makluman, kemenangan ini merupakan kemenangan ketiga pasukan Kelantan dalam perlawanan persahabatan sekaligus mengekalkan rekod kemenangan 100%. Sebelum ini, Kelantan berjaya membenam pasukan kebangsaan Maldives, 2-1 dan kelab dari Liga Singapura, Balestier Khalsa FC, 3-0. Untuk perlawanan persahabatan seterusnya, Kelantan akan bertandang ke Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi untuk menghadapi cabaran N.Sembilan, pada 29 November ini.