Harimau Malaya mengaum lagi!

Thursday, February 10, 20110 comments



Pasukan Malaysia meneruskan aksi cemerlang memenangi kejuaran Piala AFF Suzuki lepas dengan membenam cabaran pasukan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa pertama untuk tahun 2011. Malaysia memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0.

Turun selaku tuan rumah, pasukan negara dilabel pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini. Menurunkan hampir kesemua pemain yang sama ketika memenangi Piala AFF Suzuki 2010, pasukan Malaysia dilihat mengusai perlawanan dengan begitu baik. Safee Sali hampir sahaja meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-13, hasil sepakan volley yang gagal ditampan kemas penjaga gol Hong Kong, Yap Hung Fai sebelum bola melantun terkena palang gol pasukan Hong Kong.

Malaysia meneruskan asakan dan melakukan percubaan demi percubaan namun gagal menghasilkan gol. Di minit-minit akhir babak pertama, tanpa diduga kesilapan pertahan Hong Kong membuka ruang untuk Safiq Rahim meletakkan Malaysia di depan 1-0 hasil rembatan kaki kiri menewaskan penjaga Yap Hung Fai di gawang gol Hong Kong.

Masuk pada babak kedua, pasukan Hong Kong berjaya mengimbangi sedikit perlawanan dan berjaya melakukan beberapa percubaan namun dinafikan oleh kecekapan Khairul Fahmi Che Mat. Safee Sali sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun tandukan beliau pada minit ke-60 tidak menemui sasaran.

Jurulatih K.Rajagobal juga membuat beberapa pertukaran di separuh masa kedua dengan memasukkan Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha,Sabree Abu, Amirulhadi Zainal, Mahthevan dan juga pemain baru dari Johor FC, Shahrizal Saad, bagi menggantikan Khairul Fahmi Che Mat, Fakri Saarani, Mahali Jasuli, Ashaari Shamsudin, Gurusamy dan juga penyerang baru Pelita Jaya, Safee Sali.

Pada minit ke-70, bekas kedua pasukan negara, yang baru sahaja kembali bersama pasukan, Aidil Zafuan hampir menambah gol hasil "set-piece" beliau bersama ketua pasukan, Safiq Rahim namun sedikit tersasar. Lima minit kemudian, giliran S Kuanalan pula menguji penjaga gol Hong Kong, Yap Hung Fai, namun rembatan beliau hanya singgah di palang gol tatkala Yap Hung Fai pun sudah tertewas.

Pada minit-minit akhir perlawanan, tanpa diduga, Amirul Hadi yang masuk menggantikan Asshaari Shamsudin berjaya menjaringkan gol kedua Malaysia hasil hantaran lintang cantik Sabree Abu yang berjaya melepasi perangkap offside pasukan Hong Kong pada minit ke-90. Perlawanan berkesudahan dengan Malaysia menang 2-0. Tahniah Harimau Malaya.







Untuk melihat gambar-gambar lain sila (klik)

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger