Fenomena tsu-FAHMI

Tuesday, January 18, 20110 comments



TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI, TUAH MANUSIA ?

Kalau dulu, ketika Mawi menjurai Akademi Fantasia musim ke-3, fenomena tsu-MAWI melanda satu Malaysia. Tak kira samaada muda, tua, kanak-kanak, remaja, lelaki, perempuan, pak cik, mak cik, rata-rata mereka mengagumi bintang kelahiran Akademi Fantasia itu sehingga menjadi satu fenomena di Malaysia pada ketika itu.

Siapa sangka, hari ini, seorang pemain bola sepak yang beraksi di posisi penjaga gol, iaitu Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apex mencetuskan fenomena baru di Malaysia. Fenomena tsu-FAHMI. Sejurus Malaysia dijulang sebagai Juara AFF SUZUKI CUP 2010 selepas menewaskan pasukan Indonesia, Apex diangkat sebagai wira Malaysia dengan aksi terbaiknya sepanjang kejohanan. Beliau dijulang sebagai hero terutama ketika menafikan sepakan penalti yang diambil oleh Kapten pasukan Indoenesia pada perlawanan akhir kedua.

Anak muda yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-22 pada 7 January 2011 adalah penjaga gol utama pasukan The Red Warriors yang baru sahaja menjulang Piala Malaysia untuk musim 2010. Beliau beraksi dengan baik sepanjang Piala Malaysia 2010 dan terlebih dulu dijulang sebagai wira bagi penyokong The Red Warriors sebelum beliau membantu pasukan kebangsaan menjuarai AFF SUZUKI CUP 2010.


TUAH BADAN

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan karier Khairul Fahmi, beliau antara pemain yang paling cepat mengukir nama. Kalau dahulu, tiada siapa mengenali siapa empunya nama Khairul Fahmi Che Mat, kerana dia hanya penjaga gol pasukan Piala Presiden Kelantan dan juga penjaga gol ketiga pasukan Liga Super Kelantan. Aksi pertama Apex yang WF saksikan adalah ketika perlawanan Piala Presiden yang berlansung di Padang Penjara. Ketika itu, Apex menjadi penjaga gol utama pasukan Piala Presiden. Ayah WF sempat bertanya, siapa nama penjaga gol muda ini? Macam bukan melayu. Kerana muka Apex "Chinese or Korean Looks" ditambah pula ketika itu Apex berambut panjang dan kedengaran orang memanggil beliau sebagai Apex.

Melihat aksi beliau ketika itu, WF yakin beliau mampu untuk membarisi pasukan utama Liga Super dalam masa 2-3 tahun akan datang, itupun jika beliau berusaha keras kerana ketika itu, Kelantan memiliki bekas penjaga gol kebangsaan, iaitu Syed Adney dan juga penjaga gol berpengalaman, Halim Napi. Ketika itu nasib pertama menyebelahi Apex kerana berjaya merebut slot sebagai penjaga gol ketiga pasukan, itupun setelah Shahrizan Ismail digugurkan dari pasukan. Kalau lah Shahrizan ada ketika itu, Apex tidak mungkin akan diangkat sebagai penjaga gol ketiga pasukan Liga Super Kelantan.

Bermula dari situ, satu demi satu nasib mula menyebelahi Apex. Kesilapan mudah Syed Adney ketika perlawanan menentang Kedah, dan kecederaan Halim Napi, membuka ruang kepada Apex untuk beraksi dalam skuad utama pasukan Liga Super Kelantan. Ketika itu, jurulatih Kelantan, B Sathianathan tiada pilihan lain selain Apex. Dan Alhamdulillah, Apex berjaya melaksanakan tugas dengan baik setiap kali diturunkan dan membalas kepercayaan yang diberikan oleh B Sathianathan.

Sejak dari ini, Apex mula membarisi skuad utama bergilir-gilir dengan Syed Adney, dan akhirnya Apex berjaya merampas posisi utama sebagai penjaga gol pasukan The Red Warriors daripada Syed Adney yang ketika itu bergelut untuk mencapai aksi terbaik dan menaikkan kembali keyakinan beliau. Peluang itu diambil oleh Apex untuk beraksi dengan tenang dan yakin sehingga beliau berjaya membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia 2010.


SKUAD KEBANGSAAN

Selepas mempamerkan aksi terbaik dalam kempem Piala Malaysia 2010, Apex dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk membarisi pasukan kebangsaan. Namun, ketika itu, penjaga gol utama pasukan kebangsaan dipegang oleh penjaga gol Terengganu, Sarbinee, dan penjaga gol kedua ketika itu ialah Farizal Marlias dari pasukan Perlis. Sekali lagi Apex diletakkan sebagai penjaga gol ketiga. Namun, sekali lagi tuah menyebelahi Apex, apabila kecederaan Sarbinee dan Farizal Marlias membuka ruang untuk Apex beraksi sebagai penjaga gol utama ketika Sukan Asia. Dari situ, Apex mula menimba pengalaman demi pengalaman yang mematangkan beliau. Aksi beliau ketika itu mendapat pujian walaupun hanya layak ke pusingan kedua di Sukan Asia.


PIALA AFF SUZUKI 2010

Ketika AFF SUZUKI CUP 2010, kembalinya Sarbinee dari senarai kecederaan meletakkan Apex sebagai penjaga gol kedua pasukan kebangsaan. Untuk aksi pertama menentang Indonesia, Malaysia tewas 5-1 dan Sarbinee gagal beraksi dengan baik. Sekali lagi tuah datang untuk Apex apabila K Rajagobal menggantikan Sarbinee dengan Apex untuk perlawanan kedua. Dan Apex membalas kepercayaan itu dengan menunjukkan aksi meyakinkan sehinggalah Malaysia berjaya menjulang AFF SUZUKI CUP 2010. Apex dijulang sebagai wira Malaysia bersama rakan-rakan lain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dan pemain-pemain lain, namun fenomena tsu-FAHMI hanya melanda Apex dan seluruh rakyat Malaysia. WF mengucapkan sekalung tahniah kepada Khairul Fahmi Che Mat ataupun Apex kerana mengharumkan nama MALAYSIA dan juga KELANTAN.



Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger