Norsyahrul Hawari Bintang Dalam Pembikinan

Thursday, November 24, 20110 comments



Mungkin nama Norsyahrul Hawari tidak popular seperti nama Nazmi Faiz yang kini menjadi bualan penyokong bola sepak Malaysia. Namun, Norsyahrul Hawari atau lebih mesra disapa dengan panggilan "Yoyo" oleh rakan-rakan turut mendapat perhatian apabila nama beliau seakan-akan sama dengan seorang pemain Malaysia yang turut bermain di Sukan Sea, iaitu Norsyahrul Azwari. Ramai yang terkeliru sehingga ada yang menyangka mereka berdua adalah pasangan adik beradik.

Untuk pengetahuan umum, Norsyahrul Hawari dan Norsyahrul Azwari merupakan dua individu yang berbeza dan mereka juga tidak ada hubungan kekeluargaan. Cuma apa yang sama, kedua pemain ini merupakan anak kelahiran Kelantan. Kini, Norsyahrul Hawari merupakan pemain skuad Piala Presiden Kelantan.

Lahir pada 20 Julai 1991, berusia 20 tahun, anak muda kelahiran Kelantan ini pernah menjulang Piala Presiden pada musim 2011 bersama pasukan Kelantan. Dan yang terbaru, beliau telah berjaya membantu pasukan Kelantan menjulang Piala Agong pada perlawanan pembukaan Piala Emas Raja-Raja pada awal bulan November. Aksi cemerlang beliau pada perlawanan itu telah menarik minat Peter James Butler untuk menyenaraikan beliau dalam siri jelajah perlawanan persahabatan di Lembah Klang.

Setakat ini, Norsyahrul Hawari telah menjalani dua ujian perlawanan persahabatan dibawah bimbingan Peter James Butler iaitu ketika menentang skuad kebangsaan Maldives dan yang terbaru menentang pasukan Liga Singapura, Belestier Khalsa FC. Dalam kedua perlawanan itu, skuad Kelantan menang dengan jaringan 2-1 dan 3-0.

Jika pemain ini berjaya memikat hati ketua jurulatih dengan aksi yang meyakinkan, tidak mustahil pemain ini bakal diserapkan kedalam skuad senior Kelantan untuk musim 2012. Beliau merupakan pemain yang beraksi di posisi tengah dimana posisi yang sama dengan ketua pasukan Kelantan, Piya. Lebih menarik, pemain ini juga memakai nombor jersi yang sama dengan Piya, iaitu nombor 16. Adakah beliau merupakan prospek masa depan pasukan The Red Warriors?

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger