Nazmi Faiz Prospek Masa Depan Malaysia

Thursday, November 24, 20110 comments



Nama Mohd Nazmi Faiz Bin Mansor, atau lebih dikenali sebagai Nazmi Faiz kini mula meniti bibir penyokong bola sepak tanah air. Lahir pada 16 Ogos 1994, anak muda berusia 17 tahun ini menunjukkan satu persembahan yang cukup matang setiap kali beliau diturunkan. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau merupakan nadi utama pasukan negara di Sukan Sea, Indonesia sehingga berjaya membantu Malaysia merangkul pingat emas.

Kehadiran Nazmi Faiz di Sukan Sea kali ini dilihat sebagai satu "nasib" apabila kecederaan yang dialami pemain tengah, Gary Steven Robert, memaksa jurulatih negara, Ong Kim Swee memanggil pengganti baru. Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya, siapa Nazmi Faiz? Malah ada suara-suara sumbang mempersoalkan kenapa Nazmi Faiz yang dipanggil sedangkan masih ramai lagi pemain muda lain yang lebih berpengalaman.

AKSI PERTAMA NAZMI FAIZ DI SUKAN SEA

Untuk perlawanan pertama menentang Singapura, Nazmi Faiz hanya memanaskan bangku simpanan. Namun, untuk perlawanan kedua menentang pasukan Thailand, Ong Kim Swee melakukan kejutan apabila menurunkan pemain itu dalam kesebelasan utama mengetepikan pemain yang lebih berpengalaman Gurusamy. Banyak persoalan bermain di minda penyokong mengenai tindakan Ong Kim Swee menurunkan Nazmi dalam perlawanan penting itu.

Akhirnya, Nazmi Faiz membuktikan betapa beliau layak untuk berada diatas padang apabila menunjukkan satu persembahan yang cukup memberangsangkan dan berjaya menguasai bahagian tengah. Beliau mampu bertahan dan menyerang dengan baik. Selain memiliki mutu kawalan bola yang baik, kebolehan beliau melakukan hantaran jauh dengan tepat memberi banyak kelebihan kepada skuad negara. Untuk penampilan pertama, Nazmi Faiz boleh dikatakan lulus dengan markah 100%. Dalam perlawanan itu, skuad negara menang 2-1.

Kecemerlangan beliau membalas kepercayaan yang diberikan oleh Ong Kim Swee pada perlawanan pertama membawa beliau untuk terus berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Kemboja. Dalam perlawanan itu, beliau berjaya membantu skuad negara menang 4-0 mengatasi Kemboja. Nazmi turut membarisi kesebelasan utama Malaysia ketika menentang Indonesia di peringkat kumpulan dan Myanmar di peringkat separuh akhir. Malaysia berjaya menang dua perlawanan itu dengan jaringan 1-0.

Di pentas final, Nazmi Faiz hanya bermula di bangku simpanan. Namun, kudrat beliau juga digunakan pada perlawanan itu apabila masuk menggantikan Gurusamy di separuh masa kedua. Ketika itu, pasukan Malaysia terikat 1-1 dalam masa sebenar sehingga memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti yang berkesudahan Malaysia memenangi sepakan penalti, 4-3. Pingat emas itu merupakan yang pertama buat anak muda berusia 17 tahun itu.

Semoga penampilan cemerlang beliau di pentas Sukan Sea akan beterusan sepanjang karier bolasepak beliau. Dengan usia 17 tahun, sekurang-kurangnya beliau mampu beraksi 3 lagi edisi Sukan Sea. Pendedahan awal beliau dalam skuad senior bakal memberi kelebihan kepada negara dan tidak terkejut jika beliau bakal memakai lilitan ketua pasukan skuad senior Malaysia di masa hadapan. Selamat maju jaya buat Nazmi Faiz.



Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger