Prebiu Perlawanan : Kelantan lwn N.Sembilan

Monday, February 28, 20110 comments




Pendahulu liga, Kelantan akan berdepan tugas getir apabila melayan kunjungan Juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad, malam esok.

Kelantan yang turun untuk memburu kemenangan bagi mengukuhkan cengkaman liga tidak mungkin akan mendapat laluan mudah kerana Negeri Sembilan mempunyai pemain-pemain berpengalaman dan juga pemain kebangsaan. Sudah pasti, satu pertarungan menarik akan tercetus pada perlawanan malam esok kerana kedua-dua pasukan ini merupakan pasukan yang hebat dan dibarisi pemain-pemain bertaraf bintang.

Pertarungan malam esok juga boleh dilabel pertarungan dua penjaga gol terbaik Malaysia, iaitu penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan juga penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Malias. Selain itu, pertembungan Norshahrul Idalan Talaha dan seorang lagi penyerang terbaik kebangsaan, Fakri Shaarani juga sudah pasti menjadi tumpuan.


ANALISIS KESEBELASAN UTAMA KELANTAN

PENJAGA GOL :

Tugas penjaga gol utama Kelantan sudah pasti menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat yang setakat ini beraksi cukup cemerlang untuk pasukan Kelantan dan juga Malaysia. Kecemerlangan Khairul Fahmi sekali lagi ditagih bagi memastikan gawang skuad Kelantan tidak dibolosi oleh penyerang Negeri Sembilan yang diketuai oleh Fakri Sharani dan juga bekas penyerang Kelantan, Hairudin Omar.


PERTAHANAN :

Tidak dinafikan, kejayaan pasukan Kelantan setakat ini banyak dibantu oleh kecemerlangan barisan pertahanan yang diketuai oleh Rizal Fahmi. Setakat ini, mereka beraksi dengan cukup disiplin dan hanya melakukan beberapa kesilapan kecil. Gandingan Daudsu, Rizal, Farisham dan Zairul Fitree dilihat cukup berkesan. Namun kecederaan yang dialami Zairul ketika menentang Kedah memungkinkan beliau tidak dapat diturunkan pada malam esok. Namun, S.Subramaniam dilihat cukup bersedia untuk menggalas tugas si posisi pertahanan kiri itu jika Zairul masih belum pulih. Selain itu, Kelantan mempunyai pertahanan berpengalaman, Wan Rohaimi dan pertahanan muda, Aziz Ismail di barisan simpanan.


TENGAH :

Untuk dua perlawanan terakhir, dilihat posisi tengah Kelantan kurang berfungsi seperti yang diharapkan. Keupayaan ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi kian dikritik kerana beliau gagal memberikan persembahan terbaik terutama ketika menentang pasukan Kedah. Datuk M.Karathu mempunyai Danial Fadly dan Khairan Eroza yang dilihat mampu untuk bermain diposisi Badri jika beliau mahu merehatkan ketua pasukan itu. Bahagian sayap kanan pula dilihat masih lagi gagal mandapat impak yang berkesan dari Solehin Kanasian mahupun S.Chanturu. Namun, sudah pasti pada pertembungan dengan Negeri Sembilan, Badri Radzi ditagih untuk kembali memberi persembahan yang terbaik, dibantu oleh Shakir Shaari dibahagian tengah. Sementara pemain lincah, Nurul Azwan Roya akan beraksi di posisi sayap kiri. Bahagian sayap kanan pula masih menjadi perebutan antara S.Chanturu dan juga Solehin Kanasian.


PENYERANG :

Di posisi serangan, hanya Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menunjukkan aksi seperti yang diharapkan. Sementara rakan gandingannya diposisi berkenaan, Ramzul Zahini Adenan masih lagi tercari-cari rentak permainan sebenar. Selain Ramzul, Kelantan turut mempunyai Nizad Ayub dan Khalid Jamlus diposisi tersebut.


BARISAN KEMUNGKINAN :

Apex
Daudsu | Rizal | Farisham | Subra

Shakir
S.Chanturu Nurul Azwan
Badri Radzi

Norshahrul | Ramzul



ANALISIS KESEBELASAN UTAMA NEGERI SEMBILAN

PENJAGA GOl :

Tugas penjaga gol Negeri Sembilan sudah pasti akan diberi kepada penjaga gol kebangsaan iaitu Farizal Marlias. Kecemerlangan Farizal sudah pasti ditagih bagi menahan asakan dari penyerang pasukan Kelantan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha.


PERTAHANAN :

Di posisi pertahahan, Negeri Sembilan dilihat kebal dengan gandingan ketua pasukan, Shukor Adan dan pertahanan kebangsaan, Aidil Zaquan. Selain itu, mereka turut mempunyai Tengku Qayyum dan Irwan Fadzli Idrus di posisi pertahanan.


TENGAH :

Gandingan Idris Karim, Abdul Halim Zainal, S.Kunalan dan pemain kebangsaan G.Mahthevan sudah pasti ditagih bagi merencana serangan dari bahagian tengah. Sudah pasti pemain sayap lincah, S.Kunalan perlu diberi kawalan ketat kerana beliau cukup berbahaya dengan larian laju dari bahagian sayap. Selain itu, keupayaan Idris Karim melorongkan bola tepat untuk penyerang juga perlu disekat jika Kelantan mahu memenangi perlawanan tersebut. Selain mereka berempat, Negeri Sembilan juga mempunyai Shahrain Abu Samah, yang juga pemain yang bagus.


PENYERANG :

Diposisi serangan, penyerang kebangsaan, Fakri Sharaani sudah pasti akan diturunkan dalam kesebelasan utama bagi menggalas tugas menggempur kubu pasukan Kelantan. Beliau dijangka akan digandingan bersama bekas penyerang yang Kelantan, iaitu Hairudin Omar. Sudah pasti, Hairudin Omar yang membantu Kelantan menjurai Piala Malaysia 2010 perlu diberi perhatian kerana beliau mampu menjadi duri dalam daging buat pasukan The Red Warriors.


BARISAN KEMUNGKINAN :

Farizal M
Tg Qayyum | Shukor | Aidil | Irwan F

Halim | Idris | Mahathevan | S.Kunalan

Hairudin O | Fakri S



PEMAIN TUMPUAN :

Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Farizal Marlias (N.Sembilan)
Norshahrul Idlan (Kelantan)
Fakri Shaarani (Negeri Sembilan)
Badri Radzi (Kelantan)
Hairudin Omar (N.Sembilan)


RAMALAN wawanfaiz.com :

Kelantan FA 2-0 N.Sembilan

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger