Kelantan dalam bahaya!

Wednesday, March 16, 20110 comments


Khalid Jamlus turun dalam kesebelasan utama

Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 ketika suku akhir pertama menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam tadi. Felda United yang turun sebagai pasukan "underdog" berjaya mencuri dua gol ditempat lawan sebagai bekalan untuk suku akhir kedua sabtu ini.

Keputusan seri 2-2 bermakna, Kelantan memilih laluan berliku dimana pasukan Felda United yang menjaringkan dua gol ditempat lawan hanya memerlukan seri (samaada seri 0-0 atau 1-1) untuk melayakkan diri ke separuh akhir. Sudah pasti tekanan akan menjurus kearah pasukan Kelantan untuk mencapai kemenangan pada suku akhir kedua. Mungkin Kelantan boleh sedikit menarik nafas lega apabila pertemuan suku akhir kedua juga akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan Felda United bertindak sebagai tuan rumah.

Pada perlawanan semalam, Kelantan yang menurunkan rangkaian serangan Khalid Jamlus, Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu dan Nurul Azwan Roya dilihat terlebih dahulu mengancam kubu pasukan pelawat. Seawal minit kedua, rembatan kaki kiri S.Chanturu dari luar kotak penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kanan gol Felda United yang dikawal Hamsani Ahmad.

Kelantan sekali lagi memperolehi peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20 menerusi Norshahrul Idlan Talaha, namun rembatannya sedikit melewati palang gol pasukan pelawat. Selepas itu, Felda United juga mempunyai peluang menerusi Faderin Kadir pada minit ke-27 namun rembatan beliau berjaya ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan kubu tuan rumah. Namun, usaha keras Felda United akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang Felda United, Muhammad Zamri Chin menanduk cantik untuk gol pertama pasukan pelawat pada minit ke-31 menewaskan Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan. Kelantan bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit akhir separuh masa pertama menerusi rembatan ketua pasukan Badri Radzi yang mendapat umpanan Norshahrul Idlan Talaha. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-1.

Norshahrul beraksi cemerlang

Bermula separuh masa kedua, pasukan Kelantan dilihat mula menguasai perlawanan. Cubaan demi cubaan dilakukan menerusi S.Chanturu, Nurul Azwan Roya dan Norshahrul namun gagal menghasilkan gol. Akhirnya, pada minit ke-70, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Kelantan didepan setelah bijak melarikan bola dan merembat kencang mengecewakan Hamsani Ahmad di gawang gol Felda. Kelantan terus mengusai perlawanan dan mengasak ke kubu Felda United.

Perlawanan yang dilihat bakal berpihak kepada Kelantan akhirnya berubah apabila Felda United memperolehi sepakan penalti kontroversi di saat akhir. Felda United dihadiahkan sepakan penalti apabila penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan Ramesh Lai Ban Huat di dalam kotak penalti. Liew Kit Kong tidak mensia-siakan peluang itu apabila dengan mudah menyempurnakan penalti tersebut untuk Felda United mengikat Kelantan 2-2.

Keputusan penuh perlawanan, Kelantan 2-2 Felda United. Perlawanan pusingan kedua suku akhir Piala FA akan dilangsungkan Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.


Kesebelasan Utama Kelantan : 4-4-2


Khairul Fahmi Che Mat (GK), Mohd Daudsu Jamaludin (Khairan Ezuan Razali), Mohd Rizal Fahmi Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohd Abd Aziz Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya (Khairan Eroza Razali), Muhd Badri Radzi (C), Shakir Shaari, S.Chanturu, Muhammad Khalid Jamlus (Solehin Kanasian Abdullah), dan Norshahrul Idlan Talaha.


Kesebelasan Utama Felda United : 4-4-2


Mohd Hamsani Ahmad (GK), Abdul Ghani Abdul Rahman, Ramesh Lai Bun Huat, Muhamad Khaironnisam Sahabudin Hussain (C), Mohd Khairul Anuar Jamil (Mohd Nizam Abu Bakar), Mohd Badrul Azam Zamri, Mohd Lot Abu Hassan (Mohd Syazwan Zainol), Liew Kit Kong, Muhammad Zamri Chin (Muhammad Nizarudin Yusoff) Mohd Azrul Ahmad, dan Faderin Kadir.


Untuk melihat gambar perlawanan, sila (klik)

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. wawanfaiz.blogspot.com - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger